Saya mengambil kesempatan beraya di Raub Pahang untuk mengunjungi Ladang Ternakan Pearl Farm yang terletak di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang pada 4 Oktober 2008 yang lalu.
Kunjungan saya disambut oleh Sdr Amirul setelah membuat temujanji pada pagi tersebut. Beliau telah membawa saya ke Ladang Ternakan Kambing beliau yang terletak di dalam ladang getah berhampiran dengan jalan besar Bentong-Raub. Ladang tersebut diusahakan secara bersama dengan kedua ibu dan bapanya yang memang meminati bidang penternakan ini sejak lebih 1 tahun yang lalu dan mempunyai lebih kurang 40 ekor kambing (Cross dan Kampung).
Cabaran
Sdr Amirul dan kedua ibu bapa beliau sangat peramah. Pengalaman mereka semasa baru memulakan penternakan kambing setahun yang lalu amat mencabar bila mana terpaksa mengharungi kepayahan untuk memulakan langkah pertama untuk menjadi seorang usahawan kambing. Komintment dan respon daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) Daerah kurang menyenangkan sepertimana yang dihadapi oleh beberapa orang penternak di daerah-daerah yang tertentu di kawasan lain.
Selain itu, bilangan penternak yang masih kecil di daerah Bentong dan tiadanya pembekal yang konsisten seperti bekalan makanan (pellet) dan ubat-ubatan telah menjadi masalah yang utama kepada usahawan ternakan kambing seperti beliau. Adakalanya beliau terpaksa mendapatkan bekalan tersebut dari pembekal di kawasan lain seperti di Kuala Lumpur.
Jualan Baja Kompos
Namun begitu, beliau yang telah mula memasarkan produk baja dari tinja kambing dengan jenama Pearl Bio Compost mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan di sekitar Daerah Bentong dan Raub. Beliau juga memasarkan hasil ternakan di pasar tani (FAMA) daerah Bentong. Langkah seterusnya dimulakan dengan membina sebuah stor memproses tinja kambing berhampiran dengan kandang sedia ada. Disamping itu juga beliau sedang di dalam proses memperbesarkan kandang kambing memandangkan jumlah bilangan kambing telah meningkat.
Saya turut mencadangkan agar beliau menempatkan kambing Boer atau Jamnapari (Cross) bagi meningkatkan prospek jualan ternakan dan mendapatkan margin perolehan jualan yang lebih besar.
Mudah-mudahan usaha yang beliau lakukan akan menempa kejayaan yang lebih di masa hadapan.
Pearl Farm