Selesai "presentation", menjelang tengahari, kami berhenti makan di kedai makan milik kakak Katjang yang terletak di Felda Trolak dan kemudian terus ke rumah bapa mertua EG untuk melihat-lihat tapak projek yang akan dibangunkan tersebut.

Memang menarik tapak projek yang dicadangkan oleh EG. Cuma ianya perlukan modal yang agak besar untuk dibangunkan kawasan tersebut berhampiran dengan kandang lama. Tetapi, InsyaAllah, ianya perlukan masa dan kesabaran kerana tanah tersebut telahpun mendapat persetujuan pihak pengurusan Felda untuk digunakan bagi tujuan tersebut.
Di dalam kawasan Felda Trolak ini sendiri terdapat beberapa orang penternak yang telah mengusahakan projek secara kecil-kecilan. Tetapi yang menjadi masalah kepada mereka adalah tentang pemasaran hasil ternakan dan beberapa kaedah yang masih mengamalkan cara-cara penternakan yang agak lama.
Dalam masa yang sama, perjumpaan pada petang itu juga telah diadakan oleh Pengurus Felda Trolak Timur yang mencadangkan agar EG Plantation menyediakan satu plan untuk membangunkan semula projek ternakan lembu yang telah terbengkalai beberapa bulan yang lalu. Walaupun agak keberatan untuk membangunkannya, tambahan pula ianya adalah projek belia, namun kami akan cuba untuk menyediakan satu kertas kerja untuk pembangunan semula projek tersebut.