Saya telah mengunjungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) cawangan Raub pada Isnin 25 Februari 2008 yang lalu dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang berguna sebelum saya memulakan ternakan kambing nanti.
Temu janji saya dengan pegawai JPH En Abdul Wahid pada hari itu sepatutnya pada jam 2:30 petang. Memandangkan urusan saya dengan Pejabat Tanah dapat diselesaikan lebih awal, maka saya memutuskan untuk terus berjumpa dengan En Abdul Wahid di pejabat JPH Raub. Ternyata beliau tidak menolak permintaan saya untuk datang lebih awal daripada sepatutnya.
Aku berbincang dengan beliau bermula daripada penyediaan tapak ladang sehinggalah ke bab pemasaran. Beliau menyarankan agar akan mengusahakan ternakan tersebut secara intensif memandangkan keluasan tanah yang agak terhad. Tambahan pula baka yang bakal saya usahakan ini adalah bernilai tinggi. Secara tidak langsung dengan penternakan secara intensif, ianya dapat mengurangkan masaalah terhadap penyakit-penyakit kambing berbanding dengan kaedah meragut.
Beliau juga menerangkan tentang pembinaan kandang, penjagaan ternakan sambil mencadangkan beberapa pemilik jentera yang dapat membersihkan ladang dengan harga yang agak rendah.
Disamping itu juga pihak JPH ada menyediakan perkhidmatan pinjaman baka kambing pejantan secara percuma untuk jangkamasa selama 3 tahun.
Dari rekod JPH Raub, jumlah penternakan kambing Jamnapari mahupun Boer adalah terlalu rendah di daerah Raub. Malahan jumlah kesemua penternak tidak sampaipun 50 orang. Namun begitu, sebuah koperasi penternak baru sahaja ditubuhkan bagi membantu penternak mendapatkan kemudahan bekalan kambing, ubatan dan sebagainya.
Dari segi pemasaran pula, daerah Raub tidak mempunyai masaalah untuk memasarkan hasil ternakan ini. Malahan pihak JPH sedia membantu penternak untuk memasarkannya.
Perbincangan saya dengan En Abdul Wahid berakhir sejam kemudian disusuli dengan berapa pengajaran dan ilmu yang amat berguna bukan sahaja bab penternakan, malahan juga berkaitan dengan kehidupan apabila telah menjadi seorang penternak.
Aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana beliau cukup mesra ketika memberikan penerangan kepada saya. InsyaAllah, saya akan ke JPH lagi untuk langkah seterusnya.
No comments:
Post a Comment