KOTA KINABALU 22 Julai 2008 - Sabah yakin program memperluaskan sektor ternakan yang dilakukan di negeri ini dapat membantu sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri bagi bekalan daging kambing menjelang tahun 2011.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan kepada peningkatan jumlah kambing yang diternak pada masa ini termasuk baka yang diimport atau dikacukkan. Kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 juta setiap tahun untuk mengimport daging kambing, lembu dan kerbau dari negara seperti Australia, New Zealand dan sebagainya.
"Melalui hasil penternakan kambing di Sabah, kita mampu mencapai tahap sara diri selewat-lewatnya pada 2011" - Datuk Yahya Hussin
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menterii Sabah berkata, kambing-kambing yang sedang diternak di seluruh Sabah mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding kambing yang diimport. Kambing-kambing di sini kurang lemak, mempunyai lebih banyak daging dan bebas daripada sebarang penyakit berbahaya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Kambing Jambo Mengatal.
Menurutnya, setakat ini jumlah kelahiran baka anak kambing dan lembu di ladang projek seluruh negeri mencapai lebih 2,000 ekor sebulan. Sebagai contoh katanya Projek Ladang Kambing Jambo, Menggatal sahaja mampu mengeluarkan lebih 40 ekor anak kambing sebulan dan menjadi contoh ternakan hasil anak kambing yang berjaya di bawah kawal selia JHPT,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau yakin industri ternakan tempatan bukan sahaja perlu terus berkembang, malah mampu melahirkan penternak yang berjaya dan maju. Beliau menaruh keyakinan yang tinggi terhadap JPHT untuk memastikan industri ternakan di negeri ini terus mencapai matlamatanya pada tiga tahun akan datang.
[ Baca Lagi... ]
Ulasan :-
Mudah-mudahan apa yang diperkatakan dan disasarkan oleh Datuk Yahya Husin ini akan menjadi kenyataan pada tahun 2011 nanti walaupun ianya adalah amat sukar untuk mencapainya memandangkan tahap sara-diri daging kambing pada hari ini berada di bawah 20% sahaja berbanding dengan permintaan yang sebenarnya.
Berdasarkan kepada rekod kajian Jabatan Veterinar yang menganggarkan permintaan daging kambing menjelang tahun 2010 adalah sebanyak 21.30 metrik tan sedangkan pengeluaran yang dijangkakan adalah sekitar 4.30 metrik tan sahaja.
Seperti kata orang, hendak seribu daya, tak hendak macam-macam dalih....Ayuh usahawan semua, kita mampu lakukannya bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi dapat juga menyekat pengaliran keluar wang negara dengan pengimportan kambing (baka) dan daging mentah.
No comments:
Post a Comment