Jualan Terus Kepada Pembeli
Ternakan kambing boleh dijual secara terus kepada pembeli melalui kaedah :-
- Menjual ternakan hidup secara runding-terus dengan pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakan.
- Mengadakan program dan promosi Aqiqah dan korban dengan menawarkan potongan harga yang menarik.
- Adalah lebih baik sekiranya usahawan dapat menyediakan perkhidmatan menyembelih, melapah dan sebagainya di ladang ternakan. Pada masa sekarang ianya adalah perlu terutamanya di kawasan bandar bagi pembeli ingin melakukan ibadah aqiqah dan korban.
Jualan Hasil Ternakan Di Pasar Besar
Semua hasil ternakan kambing boleh dijual di pasar-pasar besar dan pasar-pasar basah yang terdapat berhampiran dengan ladang ternakan usahawan. Pada masa sekarang amat jarang sekali kita menjumpai mana-mana pasar yang terdapatnya jualan hasil kambing. Kalau adapun, jumlahnya adalah terlalu kecil sekali dan kebiasaannya dimonopoli oleh penjual berketurunan India. Antara yang boleh dilakukan oleh usahawan adalah :-
- Menjual sendiri keratan daging di pasar-pasar. Kebiasaannya, penjualan ini akan memerlukan masa pada sebelah pagi hingga tengah hari sahaja atau;
- Mengupah peniaga di pasar yang sedia ada untuk menjualkan daging kambing tersebut. Ini akan dapat menjimatkan masa usahawan dan dapat masa yang mencukupi menguruskan ladang ternakan.
Pertumbuhan restoran-restoran terutamanya restoran mamak semakin bertambah banyak di negara kita. Malahan ada yang menjalankan perniagaan mereka sehingga 24 jam. Oleh itu permintaan terhadap daging kambing juga semakin bertambah. Daging kambing segar boleh juga dijual di restoran-restoran dengan cara mendapatkan tempahan secara tetap.
Pasar Tani/Pasar Minggu
Satu lagi ruang pemasaran hasil ternakan yang menarik adalah melalui Pasar Tani dan Pasar Minggu yang banyak terdapat di seluruh negara kita. Kebiasaannya ia diadakan seminggu sekali. Usahawan boleh mengambil bahagian untuk menjual hasil ternakan seperti daging, susu dan baja kompos. Selain daripada itu, secara tidak langsung ianya dapat mempromosikan ladang ternakan usahawan itu sendiri.
Jalinan Perhubungan Antara Usahawan Lain
Hubungan Pemasaran Setempat
Ada penting bagi usahawan ternakan untuk mengadakan rangkaian (networking) ternakan diantara penternak-penternak sedia-ada di sekitar kawasan ladang. Ianya akan dapat membantu usahawan untuk memasarkan hasil ternakan melalui promosi dari mulut ke mulut. Selain daripada itu, sekiranya ladang ternakan rangkaian kita menghadapi masalah bekalan, maka secara tidak langsung kita akan dapat memenuhi permintaan bekalan tersebut. Oleh yang demikian perhubungan yang baik diantara usahawan adalah amat penting.
Hubungan Pemasaran Luar
Hubungan Pemasaran dengan penternak-penternak di luar kawasan ternakan juga secara tidak langsung akan dapat membantu melebarkan lagi sempadan pemasaran dan perkongsian ilmu pengetahuan serta pengalaman disamping memahami permasalahan yang dihadapi oleh penternak-penternak lain.
Pemasaran Secara ON-LINE
Pemasaran secara online (internet) juga merupakan salah satu agen ataupun media pengiklanan dalam mempromosikan produk ladang ternakan. Ini dibuktikan dengan kejayaan usahawan-usahawan yang dapat memasarkan hasil ternakan mereka melalui laman-laman web.
Malahan pada masa sekarang, usahawan tidak perlu mengeluarkan apa-apa modal untuk mengujudkan laman web atau laman blog yang mana kebanyakannya adalah secara PERCUMA. Apa yang perlu adalah sebuah komputer dan talian internet. Atau usahawan boleh juga mengupah seseorang untuk mempromosikan hasil ternakan mereka.
No comments:
Post a Comment